Friday, February 15, 2013

Pujian dengan Teknik Nabi Muhammad Membuatkan Guru Terharu


Dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) baru-baru ini, saya melakukan pemantauan kepada seorang ustazah yang mengajar kelas Tahun 6 Unggul. Jumlah pelajar 6 Unggul keseluruhannya adalah 15 orang...

Bagi pengajian al-Quran, kumpulan 15 orang itu akan dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu 8 orang pelajar berada pada Tahap Quran, manakala 7 orang pelajar berada pada Tahap Iqra. 

Untuk pantauan kali ini, kumpulan yang saya pantau itu adalah Kelas Pemulihan Iqra.

Sesi PdP tersebut berakhir sudah. Selepas itu, ustazah berkenaan diminta berdiskusi dengan saya. Walaupun cara penyampaian ustazah tersebut masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya tidak nyatakan, kerana saya fokuskan kepada teknik Nabi.

Saya berkata kepada beliau, "Tahniah, Ustazah! Saya merasa kagum melihat kesungguhan Ustazah mengajar anak-anak didik Ustazah. Saya seronok melihat ustazah berusaha membimbing anak-anak yang Allah kurniakan ini, pada tahap kemampuan yang terbatas ini. Setiap titik peluh yang mengalir, setiap suara yang ustazah lontarkan, pasti Allah akan memberikan ganjaran atas kerja buat ustazah dalam mendidik anak-anak bangsa. Sekiranya ustazah konsisten mengajar, tidak mustahil mereka semua akan menjadi seorang al-hafiz pada suatu hari nanti. Tahniah sekali lagi."

Ustazah yang dipantau itu tidak semena-mena menitiskan air mata. "Sedih saya apabila Ustazah Irni bercakap begitu. Saya memang berasa penat mengajar pelajar seperti ini, tetapi saya akan berusaha lagi, insya-Allah."

Dan impak daripada pujian yang saya lontarkan kepada beliau itu, beliau mengambil kertas catatan bagi mencatat setiap penambahbaikan dan cadangan yang saya lontarkan. Beliau juga berjanji menyediakan fail pemantauan perkembangan pelajar secara individu.

Saya berasa ceria dan bahagia apabila Teknik Pujian gaya Nabi Muhammad yang saya pelajari tempoh hari bersama Puan Ustazah Siti Khadijah, berjaya diaplikasikan kepada guru-guru yang saya pantau. Sungguh berkesan teknik ini!