Monday, May 6, 2013

TEKNIK NABI MENAMBAH SIFAT SABAR DALAM DIRI



2013 merupakan tahun pertama ustazah bertugas  sebagai Penolong Pengarah Operasi Pendidikan Islam (Teras), di Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.  Dan disebabkan prestasi  matapelajaran Pendidikan Islam  sejak 4 tahun yang lalu tidak konsisten, ustazah diamanahkan untuk menjaga portfolio yang berkaitan.  Ini merupakan  satu amanah yang agak berat.

Misi pertama yang akan dijalankan ialah mengadakan pertemuan dengan semua ketua Panitia Daerah.  Sebelum turun ke gelanggang mesyuarat , ustazah bersedia dengan data prestasi  setiap sekolah dalam peperiksaan  akhir tahun dan keputusan semasa  Penilaian  Menengah Rendah (PMR)  . Ustazah maklum, sesi diskusi bersama dengan ketua Panitia di sekolah akan menjadi satu tekanan kepada ketua Panitia sekolah kerana mereka terpaksa menjawab  sebab kenapa  berlaku kemerosotan di peringkat sekolah yang telah memberi impak  kepada keputusan di daerah dan juga di negeri.

[ Sesi Mesyuarat bermula dengan  memberikan sepatah dua kata , sebagai menyampaikan misi Sektor Pendidikan Islam ]

“Alhamdulillah, Ustazah seronok kerana  di beri peluang untuk bertemu mata dengan  para hulubalang dan serikandi di daerah   X  .  Ustazah suka kerana  hulubalang perkasa dan serikandi di daerah ini dapat menghadirkan diri  di atas tujuan  yang sama iaitu mencari penyelesaian kepada penyakit yang ada di sekolah kita. Inilah tenaga perkasa yang akan memastikan anak didik kita mencapai kejayaan yang besar dalam peperiksaan nanti  Semoga Allah akan memberi pahala di atas usaha dan jihad kita.

{ Tiba-tiba ada guru  lelaki menyampuk di bahagian belakang.  Mereka gelak sesama sendiri barangkali , rentetan dari ungkapan yang ustazah gunakan iaitu para hulubalang dan serikandi}

Ustazah tetap meneruskan ucapan aluan ,menyampaikan misi dan visi Jabatan.  Membuat penegasan kepada target yang harus di capai oleh oleh pihak sekolah dari aspek Gred Purata Mata Pelajaran ( GPMP) di peringkat PMR iaitu 2.25 dan SPM iaitu 3.78.

{ Masih kedengaran suara  yang menyampuk}

 Ustazah  terdiam dan memandang sekeliling  sambil tersenyum dan berkata.

“Alhamdulillah, ustazah gembira kerana ada dalam kalangan guru tidak sabar-sabar untuk memberikan idea, ustazah pasti diskusi kita akan meriah dengan pelbagai idea yang mantap.   Ustazah mohon sabarlah untuk seketika, kerana pastinya selepas ini ustazah akan bagi peluang semua ketua Panitia bercakap untuk memaklumkan setiap penyakit ( masalah murid)  di setiap sekolah.”

Selesai sesi  ucapan. Sesi diskusi  dan  penyelesaian masalah  di bincangkan untuk mengatasi isu-isu pendidikan di sekolah masing-masing. 

 Di akhir setiap cadangan guru  ustazah mempamerkan  sifat positif  dengan berkata: 

“Alhamdulillah, ustazah kagum.  Nampaknya  guru-guru di sekolah  telah merancang pelbagai idea untuk memantapkan  prestasi Pendidikan Islam.  Pasti Allah akan memberikan ganjaran kepada guru-guru yang tidak jemu berusaha. Tahniah untuk  guru-guru yang tidak jemu berusaha”

Wah!!.Itu idea yang amat baik.  Ustazah kagum dengan  teknik yang di gunakan .  Sedikit sebanyak teknik tersebut akan mendorong  pelajar-pelajar  bersemangat untuk belajar Pendidikan islam. 30 markah untuk idea yang sangat sempurna. “

Bagus!!..Cadangan yang amat baik. Kolaborasi yang mantap . Kerjasama   dengan guru-guru Pendidikan islam dalam kalangan sekolah sekitar adalah idea yang bernas. Tahniah untuk perancangan yang sistematik itu.

Nampaknya  apabila setiap cadangan di terima dan  di dorong  secara  sihat, mereka berlumba –lumba untuk memberi idea sesama mereka.

 Akhirnya ustazah memberi peluang kepada guru yang banyak menyampuk dan mencelah bercakap dan mengutarakan idea dan pendapat.  Disini ustazah mengaplikasikan teknik menutup mata pada kesalahan.  

“ Bagus idea yang baik. Ustazah kagum dengan idea kreatif  yang diberikan.   Kita hanya ada seorang guru seumpama ini, Daerah X ini akan  bertuah sekiranya mempunyai 10 orang guru  yang mempunyai idea kreatif seumpama ini.  

Di akhir sesi mesyuarat. Ustazah memberi peluang untuk “ round table”

Guru yang  banyak menyampuk  berkata: “ Saya merasa seronok dapat mengenali Puan Irni.  Saya jemput Puan irni datang ke sekolah mengadakan program bila-bila masa dan saya sedia memberikan kerjasama”

Ustazah sekadar tersenyum. Gembira kerana berjaya mengawal sabar dan  meneruskan usaha mendorong guru-guru dengan Teknik Nabi.  Sememangnya Teknik Nabi ini  membantu ustazah bersikap positif dalam menjalankan tugas. Alhamdulillah.




Friday, May 3, 2013

Apabila Guru Mengeluh , Teknik Nabi digunakan menaikkan Self-Esteem Mereka.

Apabila Guru  Mengeluh , Teknik Nabi digunakan menaikkan   Self-Esteem Mereka.


“ Susahlah ustazah,  di sekolah saya tempat berkumpulnya pelajar-pelajar corot Daerah”

“Macam-macam ikhtiar telah dilakukan, namun budak-budak ni tak nak belajarlah ustazah”

“ Mereka  tidak menghadirkan diri ke sekolah ustazah, tapi bila musim peperiksaan, pandai pula mereka muncul di dewan peperiksaan”

“Sesetengah pelajar ni buta Jawi ustazah, tidak menguasai bacaan dan tulisan jawi”

“ Pengetua minta kami ajar pelajar-pelajar India yang lemah   Tasawwur Islam, bagaimana kami nak meningkatkan  Gred Purata Mata pelajaran Ustazah”

             Itulah antara beberapa rintihan Guru Pendidikan Islam  kepada Ustazah  dalam pertemuan  dengan mereka ketika sesi Pembinaan Modul Pendidikan Islam bagi  peperiksaan Awan Penilaian Menengah Rendah           (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia( SPM).  Ustazah mendengar dengan sabar semua ungkapan dan rintihan mereka, kerana ustazah tahu, inilah masanya mereka ingin meluahkan  kekangan kerja mereka dan ustazah perlu mengambil inisiatif untuk menyelesaikannya atau sekurang-kurangnya menaikkan semangat dan self -esteem mereka  demi anak didik  harapan bangsa.   Ustazah bukan seorang kaunselor yang bertauliah tetapi pernah mengikuti sebuah Bengkel di bawah bimbingan Sifu berpengalaman Ustazah Siti Khadijah, justeru terlintas di fikiran untuk menaikkan semangat dan sel -Esteem mereka. Teknik Nabi apa yang akan digunakan? Itulah perkara yang bermain di minda.

Dalam keadaan ini, ustazah tidak mengeluarkan kata-kata berbentuk negatif:-

Ustazah tidak menyindir mereka dengan berkata” Kalian Ustaz dan Ustazah bukankah seorang yang berpengalaman, seharusnya  bijak mencari penyelesaian dan methodologi yang sesuai” [ Salah]

Ustazah tidak mengkritik mereka. “Inilah sikap guru yang mudah mengalah, Tidak  sabar dan menyalahkan  pelajar sedangkan kejayaan seseorang pelajar itu bergantung kepada sikap guru” [ Salah]

Saya tidak menyiasat mereka .” Kenapa pula pelajar-pelajar menengah masih lagi buta jawi. Kenapa pula pelajar India di minta mengambil matapelajaran Tassawur Islam” [ Salah]


Sebaliknya ustazah membina keyakinan mereka dengan menaikkan self insteem  mereka.  Ustazah melihat kelebihan dan kepakaran yang ada pada guru-guru berkenaan.  Ustazah mengenal pasti kelebihan mereka dan mendorong mereka  berdasarkan kelebihan yang ada pada mereka.  Sebaik sahaja mengenal pasti kelebihan dan kepakaran mereka, ustazah menggunakan Teknik Nabi untuk mendorong mereka.

Kepada  seorang guru Ustazah berkata:-.

” Tahniah Ustazah, Bertuah ustazah mendapat pelajar-pelajar yang  dikategorikan corot, Inilah  satu jihad yang di anugerahkan Allah kepada Insan terpilih. Bayangkan  dengan usaha  gigih ustazah mengajar mereka, mendorong mereka, menyebabkan mereka  bakal menjadi Insan yang celik minda, berapa banyakkah pahala yang Allah limpahkan untuk usaha tanpa jemu ustazah”. Allah telah memberikan kelebihan tertentu kepada ustazah. Inilah masanya ustazah mengaplikasikannya.  Saya yakin Allah  akan melihat kepada usaha ustazah yang penuh keikhlasan membimbing anak-anak ini, Impaknya atau penghujung usaha, semuanya kita serah kepada ketentuan Allah”....Yang Penting kita berusaha Ya ustazah.

 Ustazah tersebut diam dan menganggukkan kepala dan berkata...

Ya saya telah di pilih Allah untuk mendidik mereka, saya akan berusaha bersungguh-sungguh, segalanya diserah kepada Allah”...

Saya hanya mampu tersenyum mendengar akur janji guru berkenaan. Masya Allah...Kata-kata positif dorongan cara Teknik Nabi  menyebabkan  guru berkenaan bersikap positif.    Rasa terharu bermain di minda lantas hati berbicara. Alangkah indahnya andai dunia pendidikan bersulamkan kasih sayang sebagaimana methodologi  yang di amanahkan oleh Rasulullah SAW..

Kisah 2 Pelajar Iqra'

[ Sesi Pengajaran Berlaku]

Saya sebagai pemantau, antara kelemahan saya ialah saya tidak mampu berdiam diri  apabila berada di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Terutamanya apabila guru tidak melakukan  apa yang seharusnya terkonstruk dalam  minda saya apabila  berhadapan  dengan pelajar tahun 6, kelas pemulihan.  

Guru berkenaan mengajar secara kaedah  “ Talaqqi Mushafahah”  iaitu menumpukan perhatian kepada pelajar seorang demi seorang. Impaknya pelajar yang tidak diberikan perhatian akan kehilangan fokus. Seperti biasa keinginan untuk membantu  guru dan murid berkenaan menerpa diri, lantas bayangan beberapa Teknik Nabi telah cuba diaplikasi.

Ustazah Irni: Wah..Kamu Ridzwan dan Ahmad.  Nampaknya bacaan  Iqra kamu lebih tinggi  berbanding dengan rakan-rakan kamu yang lain.  Ustazah amat bangga kerana kamu dapat menguasai  bacaan Iqra. Ustazah suka melihat kamu bersungguh-sungguh membacanya.  Ustazah gembira  melantik kamu sebagai  sebagai pembantu ustazah. Kamu Ridwan, Ustazah lantik sebagai Imam Muda. Kamu pula Ahmad, sebagai Ustaz Muda.

Ridwan : Kami kena ajar kawan-kawan ke?

Ustazah Irni: Ya ,...disebabkan bacaan  kamu lebih tinggi, kamu perlu membantu  ustazah mendengar bacaan kawan-kawan serta menegur mereka sekiranya ada kelemahan dan kesilapan.  Ustazah juga mohon  Imam Muda Ridwan dan ustaz Muda Ahmad...memastikan kawan-kawan kamu meneruskan bacaan dan tidak bising.  Allah akan suka dan memberi pahala kepada mereka yang  menyenangkan guru dan membantu kawan-kawan.  Dan pastinya Allah akan melapangkan kamu dan memberikan kefahaman  yang lebih  dalam bacaan nanti.

Ustaz Muda Ahmad: Baik Ustazah, kami akan membantu ustazah dan  bantu rakan-rakan.

Impaknya, apabila  kedua pelajar itu, di puji dengan  Teknik Nabi, mereka berusaha bersungguh-sungguh membetulkan bacaan  kawan-kawan mereka  dan ini memudahkan penumpuan  saya dan guru mereka  kepada pelajar yang lebih rendah tahap bacaannya.

[Di akhir sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)]

Ustazah Irni: Alhamdulillah, Ustazah  seronok kerana kita telah berjaya  menyelesaikan bacaan kita semua untuk hari ini.  Ustazah bangga dengan kesungguhan  kamu semua.  Ustazah gembira  kerana dua orang pembantu guru ustazah  telah berjaya melaksanakan  tugas mereka  dengan baik.  Nampaknya semua kawan-kawan  meneruskan  bacaan  dan tidak  melakukan  aktiviti lain.  Allah pasti  memberi kita semua pahala  pada hari ini kerana kita berjaya membaca Al Quran  dengan bacaan yang betul.

Akhirnya seorang pelajar berkata,

“Bila lagi ustazah nak datang mengajar kami? Seronok kami belajar Iqra  hari ini.”

Tergamam saya mendengar ungkapan spontan yang lahir dari bibir pelajar tersebut.   Indahnya menjadi seorang guru apabila  dihargai oleh anak didik.  Nyata Teknik Nabi amat berkesan bagi mewujudkan rasa ceria dan seronok serta tanggungjawab dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan anak didik.

Friday, February 15, 2013

Pujian dengan Teknik Nabi Muhammad Membuatkan Guru Terharu


Dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) baru-baru ini, saya melakukan pemantauan kepada seorang ustazah yang mengajar kelas Tahun 6 Unggul. Jumlah pelajar 6 Unggul keseluruhannya adalah 15 orang...

Bagi pengajian al-Quran, kumpulan 15 orang itu akan dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu 8 orang pelajar berada pada Tahap Quran, manakala 7 orang pelajar berada pada Tahap Iqra. 

Untuk pantauan kali ini, kumpulan yang saya pantau itu adalah Kelas Pemulihan Iqra.

Sesi PdP tersebut berakhir sudah. Selepas itu, ustazah berkenaan diminta berdiskusi dengan saya. Walaupun cara penyampaian ustazah tersebut masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya tidak nyatakan, kerana saya fokuskan kepada teknik Nabi.

Saya berkata kepada beliau, "Tahniah, Ustazah! Saya merasa kagum melihat kesungguhan Ustazah mengajar anak-anak didik Ustazah. Saya seronok melihat ustazah berusaha membimbing anak-anak yang Allah kurniakan ini, pada tahap kemampuan yang terbatas ini. Setiap titik peluh yang mengalir, setiap suara yang ustazah lontarkan, pasti Allah akan memberikan ganjaran atas kerja buat ustazah dalam mendidik anak-anak bangsa. Sekiranya ustazah konsisten mengajar, tidak mustahil mereka semua akan menjadi seorang al-hafiz pada suatu hari nanti. Tahniah sekali lagi."

Ustazah yang dipantau itu tidak semena-mena menitiskan air mata. "Sedih saya apabila Ustazah Irni bercakap begitu. Saya memang berasa penat mengajar pelajar seperti ini, tetapi saya akan berusaha lagi, insya-Allah."

Dan impak daripada pujian yang saya lontarkan kepada beliau itu, beliau mengambil kertas catatan bagi mencatat setiap penambahbaikan dan cadangan yang saya lontarkan. Beliau juga berjanji menyediakan fail pemantauan perkembangan pelajar secara individu.

Saya berasa ceria dan bahagia apabila Teknik Pujian gaya Nabi Muhammad yang saya pelajari tempoh hari bersama Puan Ustazah Siti Khadijah, berjaya diaplikasikan kepada guru-guru yang saya pantau. Sungguh berkesan teknik ini!