[ Sesi Pengajaran Berlaku]
Saya sebagai pemantau, antara kelemahan saya ialah saya tidak mampu
berdiam diri apabila berada di dalam proses pengajaran dan pembelajaran
(PdP). Terutamanya apabila guru tidak melakukan apa yang seharusnya terkonstruk dalam
minda saya apabila berhadapan dengan pelajar tahun 6, kelas
pemulihan.
Guru berkenaan mengajar secara kaedah “ Talaqqi Mushafahah” iaitu menumpukan perhatian kepada pelajar seorang demi seorang. Impaknya pelajar yang tidak
diberikan perhatian akan kehilangan fokus. Seperti biasa keinginan untuk
membantu guru dan murid berkenaan menerpa diri, lantas bayangan beberapa Teknik Nabi telah cuba diaplikasi.
Ustazah Irni: Wah..Kamu Ridzwan dan Ahmad. Nampaknya bacaan
Iqra kamu lebih tinggi berbanding dengan rakan-rakan kamu yang
lain. Ustazah amat bangga kerana kamu dapat menguasai bacaan
Iqra. Ustazah suka melihat kamu bersungguh-sungguh membacanya.
Ustazah gembira melantik kamu sebagai sebagai pembantu ustazah.
Kamu Ridwan, Ustazah lantik sebagai Imam Muda. Kamu pula Ahmad, sebagai
Ustaz Muda.
Ridwan : Kami kena ajar kawan-kawan
ke?
Ustazah Irni: Ya ,...disebabkan bacaan kamu lebih tinggi,
kamu perlu membantu ustazah mendengar bacaan kawan-kawan serta
menegur mereka sekiranya ada kelemahan dan kesilapan. Ustazah
juga mohon Imam Muda Ridwan dan ustaz Muda Ahmad...memastikan
kawan-kawan kamu meneruskan bacaan dan tidak bising. Allah akan
suka dan memberi pahala kepada mereka yang menyenangkan
guru dan membantu kawan-kawan. Dan pastinya Allah akan melapangkan
kamu dan memberikan kefahaman yang lebih dalam bacaan nanti.
Ustaz Muda Ahmad: Baik Ustazah, kami akan membantu
ustazah dan bantu rakan-rakan.
Impaknya, apabila kedua pelajar itu, di puji dengan Teknik
Nabi, mereka berusaha bersungguh-sungguh membetulkan bacaan kawan-kawan
mereka dan ini memudahkan penumpuan saya dan guru mereka
kepada pelajar yang lebih rendah tahap bacaannya.
[Di akhir sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)]
Ustazah Irni: Alhamdulillah, Ustazah
seronok kerana kita telah berjaya menyelesaikan bacaan kita semua
untuk hari ini. Ustazah bangga dengan kesungguhan kamu semua.
Ustazah gembira kerana dua orang pembantu guru ustazah telah
berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik. Nampaknya
semua kawan-kawan meneruskan bacaan dan tidak
melakukan aktiviti lain. Allah pasti memberi kita
semua pahala pada hari ini kerana kita berjaya membaca Al Quran
dengan bacaan yang betul.
Akhirnya seorang pelajar berkata,
“Bila lagi ustazah nak datang
mengajar kami? Seronok kami belajar Iqra hari ini.”
Tergamam saya mendengar ungkapan spontan yang lahir dari bibir pelajar tersebut. Indahnya menjadi seorang guru apabila
dihargai oleh anak didik. Nyata Teknik Nabi amat berkesan bagi mewujudkan
rasa ceria dan seronok serta tanggungjawab dalam sesi pengajaran
dan pembelajaran dalam kalangan anak didik.
No comments:
Post a Comment