Showing posts with label Teknik Pujian. Show all posts
Showing posts with label Teknik Pujian. Show all posts

Friday, May 3, 2013

Kisah 2 Pelajar Iqra'

[ Sesi Pengajaran Berlaku]

Saya sebagai pemantau, antara kelemahan saya ialah saya tidak mampu berdiam diri  apabila berada di dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Terutamanya apabila guru tidak melakukan  apa yang seharusnya terkonstruk dalam  minda saya apabila  berhadapan  dengan pelajar tahun 6, kelas pemulihan.  

Guru berkenaan mengajar secara kaedah  “ Talaqqi Mushafahah”  iaitu menumpukan perhatian kepada pelajar seorang demi seorang. Impaknya pelajar yang tidak diberikan perhatian akan kehilangan fokus. Seperti biasa keinginan untuk membantu  guru dan murid berkenaan menerpa diri, lantas bayangan beberapa Teknik Nabi telah cuba diaplikasi.

Ustazah Irni: Wah..Kamu Ridzwan dan Ahmad.  Nampaknya bacaan  Iqra kamu lebih tinggi  berbanding dengan rakan-rakan kamu yang lain.  Ustazah amat bangga kerana kamu dapat menguasai  bacaan Iqra. Ustazah suka melihat kamu bersungguh-sungguh membacanya.  Ustazah gembira  melantik kamu sebagai  sebagai pembantu ustazah. Kamu Ridwan, Ustazah lantik sebagai Imam Muda. Kamu pula Ahmad, sebagai Ustaz Muda.

Ridwan : Kami kena ajar kawan-kawan ke?

Ustazah Irni: Ya ,...disebabkan bacaan  kamu lebih tinggi, kamu perlu membantu  ustazah mendengar bacaan kawan-kawan serta menegur mereka sekiranya ada kelemahan dan kesilapan.  Ustazah juga mohon  Imam Muda Ridwan dan ustaz Muda Ahmad...memastikan kawan-kawan kamu meneruskan bacaan dan tidak bising.  Allah akan suka dan memberi pahala kepada mereka yang  menyenangkan guru dan membantu kawan-kawan.  Dan pastinya Allah akan melapangkan kamu dan memberikan kefahaman  yang lebih  dalam bacaan nanti.

Ustaz Muda Ahmad: Baik Ustazah, kami akan membantu ustazah dan  bantu rakan-rakan.

Impaknya, apabila  kedua pelajar itu, di puji dengan  Teknik Nabi, mereka berusaha bersungguh-sungguh membetulkan bacaan  kawan-kawan mereka  dan ini memudahkan penumpuan  saya dan guru mereka  kepada pelajar yang lebih rendah tahap bacaannya.

[Di akhir sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP)]

Ustazah Irni: Alhamdulillah, Ustazah  seronok kerana kita telah berjaya  menyelesaikan bacaan kita semua untuk hari ini.  Ustazah bangga dengan kesungguhan  kamu semua.  Ustazah gembira  kerana dua orang pembantu guru ustazah  telah berjaya melaksanakan  tugas mereka  dengan baik.  Nampaknya semua kawan-kawan  meneruskan  bacaan  dan tidak  melakukan  aktiviti lain.  Allah pasti  memberi kita semua pahala  pada hari ini kerana kita berjaya membaca Al Quran  dengan bacaan yang betul.

Akhirnya seorang pelajar berkata,

“Bila lagi ustazah nak datang mengajar kami? Seronok kami belajar Iqra  hari ini.”

Tergamam saya mendengar ungkapan spontan yang lahir dari bibir pelajar tersebut.   Indahnya menjadi seorang guru apabila  dihargai oleh anak didik.  Nyata Teknik Nabi amat berkesan bagi mewujudkan rasa ceria dan seronok serta tanggungjawab dalam sesi pengajaran dan pembelajaran dalam kalangan anak didik.

Friday, February 15, 2013

Pujian dengan Teknik Nabi Muhammad Membuatkan Guru Terharu


Dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) baru-baru ini, saya melakukan pemantauan kepada seorang ustazah yang mengajar kelas Tahun 6 Unggul. Jumlah pelajar 6 Unggul keseluruhannya adalah 15 orang...

Bagi pengajian al-Quran, kumpulan 15 orang itu akan dibahagikan kepada 2 kategori, iaitu 8 orang pelajar berada pada Tahap Quran, manakala 7 orang pelajar berada pada Tahap Iqra. 

Untuk pantauan kali ini, kumpulan yang saya pantau itu adalah Kelas Pemulihan Iqra.

Sesi PdP tersebut berakhir sudah. Selepas itu, ustazah berkenaan diminta berdiskusi dengan saya. Walaupun cara penyampaian ustazah tersebut masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, namun saya tidak nyatakan, kerana saya fokuskan kepada teknik Nabi.

Saya berkata kepada beliau, "Tahniah, Ustazah! Saya merasa kagum melihat kesungguhan Ustazah mengajar anak-anak didik Ustazah. Saya seronok melihat ustazah berusaha membimbing anak-anak yang Allah kurniakan ini, pada tahap kemampuan yang terbatas ini. Setiap titik peluh yang mengalir, setiap suara yang ustazah lontarkan, pasti Allah akan memberikan ganjaran atas kerja buat ustazah dalam mendidik anak-anak bangsa. Sekiranya ustazah konsisten mengajar, tidak mustahil mereka semua akan menjadi seorang al-hafiz pada suatu hari nanti. Tahniah sekali lagi."

Ustazah yang dipantau itu tidak semena-mena menitiskan air mata. "Sedih saya apabila Ustazah Irni bercakap begitu. Saya memang berasa penat mengajar pelajar seperti ini, tetapi saya akan berusaha lagi, insya-Allah."

Dan impak daripada pujian yang saya lontarkan kepada beliau itu, beliau mengambil kertas catatan bagi mencatat setiap penambahbaikan dan cadangan yang saya lontarkan. Beliau juga berjanji menyediakan fail pemantauan perkembangan pelajar secara individu.

Saya berasa ceria dan bahagia apabila Teknik Pujian gaya Nabi Muhammad yang saya pelajari tempoh hari bersama Puan Ustazah Siti Khadijah, berjaya diaplikasikan kepada guru-guru yang saya pantau. Sungguh berkesan teknik ini!